Ramadhan: Nafsu

Wednesday, September 10, 2008


Assalamulaikum,

Allah jadikan manusia sangat istimewa. Manusia dijadikan khalifah di muka bumi Allah. Manusia juga diberikan akal dan nafsu. Akal dan nafsu inilah yang membezakan manusia dengan malaikat dan iblis. Ramai orang berkata, bahawa dengan akal yang diberikan, manusia boleh membezakan antara baik dan buruk. Namun manusia juga lupa bahawa nafsu dan godaan iblis meyebabkan manusia lalai dan alpa.

Pada bulan Ramadhan, Allah telah mengunci syaitan dan iblis serta pintu neraka ditutup serapat-rapatnya dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Namun mengapa manusia sering kali alpa dan lalai. Ya, memang manusia itu diciptakan pelupa, nescaya itulah Allah mengalakkan manusia saling ingat-mengingati antara satu dengan lain. Pada bulan ini, manusia hanya berdepan nafsu mereka sahaja. Hakikat nafsu ialah musuh kepada manusia, walaupun ia sebahagian daripada manusia. Di dalam Al Quran, Allah menegaskan maksudnya "sesungguhnya nafsu sentiasa mengajak kepada kejahatan."(Surah Yusuf ayat 53). Manakala Nabi Muhammad SAW bersabda: "Musuh ketat kamu yang paling perlu kamu lawan ialah nafsu kamu yang terletak di antara dua lambung kamu." (Riwayat Al Baihaqi).

Apa yang dimaksudkan oleh baginda tadi? Apa yang dikatakan dua lambung tadi? Sebenarnya nafsu lebih berat daripada 40 syaitan. Kerana nafsu ada di dalam diri manusia. Syaitan pula berada di luar. Nafsu adalah perantaraan atau jambatan penghubung untuk syaitan meniti kepada manusia. Sabda Nabi lagi: "Syaitan berjalan di dalam diri anak Adam melalui saluran darah, oleh itu persempitkan saluran itu dengan lapar". Maka puasa mrupakan sebagai senjata untuk kita menangani nafsu dan syaitan. Jika nafsu ditumpaskan, maka syaitan akan mudah dikalahkan.

Nafsu sebahagian daripada diri, oleh itu keinginan manusia terpaksa dikawal. Nafsu bukan mudah dididik sahabat. Nafsu itu adalah kehendak diri kita. Teori Maslow turut mengatakan bahawa manusia ada kehendak yang hendak di buat dan dilakukan bagi mencapai keperluan dalam kehidupan. Bila nafsu kuat menguasai hati, maka nafsu adalah raja. Namun jangan kita lupa bahawa Akal juga boleh menguasai hati manusia.

Hati yag dikuasai nafsu akan mengarahkan segala pancaindera kita melakukan kejahatan dan kerosakan di muka bumi ini. Firman Allah,"Telah lahir kerosakan dan kejahatan di lautan dan di daratan dengan sebab usaha tangan manusia."(Surah ar-Rum ayat 41).

Saudaraku, umur nafsu sama dengan umur seseorang manusia. Oleh itu nafsu kena dididik sejak kecil lagi. Jangan setelah besar baru hendak dididik, susah tapi bukan mestahil. Jika kita mempunyai anak, didik anak kita dengan kebaikan sejak kecil lagi agar besar nanti, anak kita akan mudah melakukan kebaikan. Jika sejak kecil kita membiarkan anak kita melakukan kejahatan ,nescaya ia akan derhaka kepada ibu bapa.

Nescaya itu sahabat, saya juga berpesan kepada diri saya sendiri, bahawa kawallah nafsu kita, tidak kiralah nafsu apa pun. Nafsu itu adalah keperluan, tidak semua nafsu kita membawa kejahatan TETAPI ingat jangan biarkan nafsu menjadi raja dalam hati kita. Memang sukar untuk mengawal nafsu, kerana apabila kita mengawal nafsu kita badan yang terpaksa menanggung derita. Tetapi ingatlah teman, jika kita berusaha dan berlatih terus-menerus, maka yang susah jadi senang, yang pahit menjadi lazat. Saya teringat pesan sahabat saya, ada seorang sufi iaitu Uwais al Qarni (tidak silap saya), dia sujud hingga ke waktu subuh kerana terlalu lazat melakukannya. Bak kat pepatah melayu, Alah bisa tegal biasa.

Jadi jadikanlah bulan yang penuh barakah ini untuk kita medidik nafsu kita. Marilah kita berusaha kearah yang lebih baik dari semalam. Semoga Allah membantu kita dalam melakukan kebaikan. Insyallah...

p/s..Ingat kata prof izi dalam radio Hot FM...selamat beramal...

0 comments: