Ramadhan: Malam Raya

Monday, September 29, 2008


Assalamulaikum...

Sedar tidak sedar kita sudah pada penghujung Ramadhan. Yang dapat berpuasa dengan sempurna, bersyukurlah kita. Semoga kita dapat bertemu pada Ramadhan tahun hadapan. Semoga Ramadhan tahun ini memberi signikfikan terhadap kita. Saya percaya masing-masing mempunyai sasaran atau misi tersendiri dalam bulan puasa ini. Ada yang hendak berhenti merokok, ada yang hendak diet, ada yang hendak sembahyang terawih penuh, apa-apa pun semoga usaha sahabat semua diberkati dan diredhai Allah.

Malam ini merupakan malam terakhir kita menunaikan solat terawih. Pada yang selalu istiqamah, pasti akan merindui solat tersebut kerana ianya satu-satu amalan yang hanya dilakukan pada bulan Ramadhan. Untunglah sesiapa yang tidak pernah meninggalkan solat terawih, maka rugilah sesiapa yang tinggal. Cuma saya hendak kongsika apakah perkara yang boleh kita lakukan pada malam raya selain kita berjalan-jalan, membeli belah dan sebagainya.

Ada malam hari raya, sepatutnya kita berqiamulail, membangunkan malam dengan ibadat, bukannya membangunkan malam dengan membakar lemang dan memasak ketupat serta berhibur dengan pelbagai program yang melalaikan hingga ke pagi. Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha, hatinya tidak mati pada ketika hati yang lain mati.”

Ada hari raya kita disunatkan mandi sunat Aidilfitri, makan sedikit sebelum ke tempat solat. Ini sebagai mengumumkan hari berbuka kita. Seluruh umat Islam, termasuk kanak-kanak dan wanita disunatkan juga keluar pada pagi hari raya ini bagi menunjukkan kehebatan, kekuatan dan perpaduan umat Islam. Wanita ketika keluar ke tempat solat hari raya disyaratkan tidak bersolek-solek, berwangi-wangian dan berhias-hiasan. Hanya dikehendaki bersih dan menutup aurat.

Diriwayatkan daripada Ummu Atiah bahawa Rasulullah membawa keluar anak dara, dewasa, orang tua dan perempuan yang uzur untuk solat dua hari raya. Ada pun perempuan uzur menjauhi tempat sembahyang dan mendengar khutbah. Salah seorang mereka berkata: “Wahai Rasulullah, sekiranya dia tidak ada tudung, bersabda Nabi, hendaklah seorang perempuan meminjamkan tudungnya.”Hadis ini menuntut seluruh orang Islam sama-sama mendengar dan menghayati khutbah Aidilfitri.

Nescaya itu saya menyeru kepada diri saya dan juga para sahabat agar kita penuhi malam raya kita dengan perkara-perkara yang diberkati Allah. Bawalah semangat Ramadhan ke bulan Syawal.Ok, semoga bergembira!!

p/s...teringat lagu suasana hari raya..

Ramadhan: Selamat Bercuti

Saturday, September 27, 2008


Assalamulaikum...

Saya ingin mengucapkan selamat bercuti kepada sahabat-sahabatku sekian. Ambil kesempatan ini untuk kita merapatkan hubungan kita dengan keluarga terutamanya kepada ibu bapa kita, adik beradik kita dan seluruh kaum keluarga kita. Dengan kesempatan ini, saya juga berdoakan perjalanan sahabat-sahabat semua selamat dan dirahmati Allah. Bawa kereta perlahan, jangan laju sangat. Bukan apa, saya tidak mahu sahabat-sahabat saya pulang dengan air mata. Saya turut ingin mengingatkan bahawa jangan terlalu gembira. Beringat ok! Banyak lagi perkara yang kita hendak selasaikan. Apa-apa pun saya ingin mengucapkan selamat bercuti dan selamat berhari raya. Saya turut ingin memohon seribu kemaafan jika saya melakukan sebarang kesalahan dan kesilapan sepanjang kita kenal. Mungkin itu sahaja pada hari ini, jangan lupa sampaikan salam saya kepada keluarga.

p/s..Tolong mak masak kuih....

Ramadhan: Sajak Buat Sahabat.

Thursday, September 25, 2008




Pada suatu masa yang ditetapkan.
Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali..
Di hujung hidup nanti..
Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..

Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..
Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..
Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..

Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..
Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..

Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..
Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka


p/s...Ya Allah....ampunkan dosa-dosa hambamu yang lemah lagi alpa ini...

Ramadhan: Tenangkah aku?

Monday, September 22, 2008


Assalamulaikum....

Hari ini saya agak keletihan kerana pelbagai perkara yang hendak diselesaikan sebelum cuti raya. Namun saya gagahkan diri saya untuk menulis kerana bagi saya menulis merupakan cara saya menenangkan diri saya. Ada sahabat saya berkata dan bertanya kepada saya. mengapa penulisan saya lebih menjurus kearah kerohanian dan islamik? Saya menjawab, mana ada...Saya hanya munulis mengikut apa yang saya rasakan betul. Saya akui yang saya bukannya ustaz ataupun orang yang berpendidikan agama yang tinggi, namun saya percaya bahawa dalam menyampaikan ilmu tidak sepatutnya isu itu menjadi masalah. Saya berpegang pada prinsip saling ingat mengingati.Itu sahaja. Mungkin ada orang mengatakan saya hanya pandai bercakap atau berlagak baik, namun itu bukannya masalah besar bagi saya. Saya selalu berdoa kepada Allah agar apa yang saya selalu tulis akan mengingatkan saya dari melakukan perkara yang tidak baik. Tidak mustahil pada isu akan datang saya akan menulis tentang sukan, politik, seni dan lain-lain kerana cabang ilmu di dunia ini amat banyak. Allah maha kaya sahabatku. Setinggi mana ilmu yang kita pelajari di dunia ini, tidak sampai setitik pun air dilautan berbanding dengan ilmu Allah.

Berbalik tentang tajuk saya pada hari ini iaitu Tenangkah aku? Mengapa kadang-kadang kita rasa bahagia, mengapa kadang-kadang tidak? Rasa bahagia bukannya bersifat lahiriah. Ia juga bermaksud apabila kita kaya, mewah, gagah, dan sebagainya, kita sudah bahagia kerana itu semua bersifat lahiriah. Kita yang memiliki semua itu belum tentu bahagia. Tetapi apakah yang dimaksudkan bahagia dan ketenangan hati? Para ilmuan islam dan sarjana barat banyak menjelaskan bahawa bahagia dan ketenangan hati itu terletak pada hati yang resah gelisah maknanya hidup tidak akan bahagia walaupun hidup dalam serba kesenangan dan kemewahan. Lantaran itu, Islam telah menawarkan suatu kaedah untuk mengatasi hati yang resah gelisah itu sekaligus mencipta kebahagiaan yang hakiki.

Mengapa islam? Ada sahabat wanita saya mengatakan bila stress, dia akan bersenam dan melakukan yoga. Memang benar, ianya dapat mengurangkan stress dan gelisah, tetapi sampai bila? Adakah ianya akan meyebabkan kita kita selepas itu? Sebenarnya dalam islam banyak caranya. Cuma kita sahaja yang hendak melakukan prkara yang sukar walhal perkara yang senang mudah hanya berada di depan mata sahaja. Contoh yang Islam gariskan untuk menenangkan fikiran ialah dengan berwudhu'. Senangkan? Ramai yang berkata berwudhu' hanya untuk solat sahaja padahal sebelum kita pergi kerja, belajar, hendak melakukan apa-apa sahaja aktiviti kita boleh berwudhu'.Ianya bukan sahaja setiap perbuatan kita dianggap pahala dan amalan, ianya juga boleh menenangkan fikiran kita.

Wudhu' dimulai dengan Bismillah dan diakhiri dengan doa taubat, ingin hidup dalam kebersihan membawa pengaruh dan kesan seperti:

1.Orang yang berwudhu' itu benar-benar akan berasa bersih diri dan dekat pada Allah

2.Dia merasa jauh dari godaan syaitan

3.Dia selalu ingat kepada Allah

4.Dia ingin menyahut seruan Allah

5.Menimbulkan kerajinan terutamanya untuk beribadah dan berakhlak baik

6.Dia selalu ingin menjadi oarang yang bersih dalam semua segi

Seseorang yang berwudhu' akan berasa tenang, boleh berfikir dengan baik dan bertindak berhati-hati serta hidup tenteram dan sihat. Punca kegundahan hati salah satunya disebabkan oleh ganguan syaitan dan nafsu. Apabila syaitan gagal menghadapi orang yang berwudhu' untuk menarik ke pihaknya yang kotor dan jauh kepada Allah, maka orang berwudhu' akan memperolehi ketenangan kerana bebas dari ganguan syaitan.

Bagi orang berwudhu' yang mencontohi wudhu' Rasullullah, maka dia akan mendapat banyak ketenangan disebabkan kelebihan tertentu sebagaimana di sabdakan Nabi, maksudnya...."Siapa berwudhu' begini....,maka diampunkan dosanya terdahulu,manakala solat dan perjalanannya ke masjid merupakan satu sunat/tambahan yang digalakkan." (Riwayat Muslim)

Fadilat berwudhu sangat banyak. Selain mengesahkan sebahagian amal ibadah, ianya boleh menggandakan pahala ibadah itu sendiri.

Kepada sahabat-sahabat yang kerap marah, runsing, gelisah, stress, cubalah kita mengambil wudhu'. Nampak seperti mudah,tetapi banyak faedahnya. Ada juga yang mengambil wudhu' tapi masih tidak tentera, cuba lihat kembali wudhu' kita..Adakah sempurna wudhu' kita?.....

p/s...kalau mengantuk,ambil wudhu'...

Ramadhan: Ibu,Ummi,Emak,Mama

Sunday, September 21, 2008


Assalamulaikum....

Sepanjang kita hidup ini berapa kalikah kita cium, meminta maaf, melawat, menziarah dan menelefon ibu kita? Mengapa saya kata begitu? Kerana perkara sebeginilah kita sering anggap remeh dan ringan. Saya juga begitu. Bila kita rasa susah dan tidak tenang barulah kita teringat ibu kita dirumah. Bila senang, ramai rakan-rakan disekeliling kita, teman wanita, wang dan kekayaan, ibu kita dilupakan. Ya, ramai yang berkata, "Eh, aku sayang ibu aku","Mana ada, walaupun aku jarang bertemu dengan ibu aku, tapi aku ingat tau","Mama aku sportingla,bab-bab macam ni tak kisahlah dia ","Alah,karang bila raya, aku baliklah kampung,minta maaf",...itu baru sekadar beberapa kata-kata tetapi lupakah kita bahawa hati seorang ibu sangat sensitif dan lembut...Kata-kata sedemikian, akan menyebabkan hati dan perasaan ibu kita terguris. Siapa tahu hati seorang ibu yang sedih dan kecil hati terhadap anaknya berdoa atau berkata sesuatu yang tidak baik terhadap anaknya, nescaya setiap kata-kata ibu adalah makbul sahabatku..

Cuba kita fikir, mengapa bila sesuatu yang tidak elok berlaku kepada kita? Adakah kita menyakiti hati ibu kita? Memang ada segelintir pembaca yang tidak berapa setuju dengan pendapat saya, tetapi ingatlah setiap apa yang berlaku mesti ada sebabnya. Memang perkara sebegini tidak pernah kita ambil tahu, tetapi ingatlah sahabatku, mungkin kita pernah melukai hati ibu kita. Janganlah kita begitu yakin yang kita tidak pernah membuatkan ibu kita sedih dan menangis, jangan kita hendak samakan kejahatan seorang anak seperti si tanggang cukuplah sekadar kita berkata "ah!" sekalipun sudah membuatkan ibu kita terguris...

Para sahabat, kata-kata saya ini bukanlah menyatakan saya adalah anak yang baik dan soleh, tetapi sekadar mengingatkan diri saya sahaja. Saya banyak membuat dosa kepada ibu saya. Berapa banyak air mata ibu saya jatuh atas kedegilan saya dan kejahatan saya yang lampau. Bersempena dengan bulan Ramadhan yang barakah ini, marilah kita mendoakan kesejahteraan buat ibu kita semoga ibu kita sihat,dimurahkan rezeki,dapat melakukan amalan dengan sempurna dan sebagainya. Ingatlah, bahawa tidak akan putus amalan anak adam selagi dia mempunyai doa dari anak-anaknya yang soleh dan solehah...

p/s...ALfatihah buat ibu-ibu yang sudah kembali kerahmatullah....

Ramadhan: Kiamat sudah dekat

Friday, September 19, 2008


Assalamulaikum....

Sebenarnya petang tadi saya menonton drama indonesia iaitu "Kiamat sudah dekat". Memang saya meminati sinetron yang berbentuk islamik itu. Namun begitu, isunya hari ini bukannya jalan ceritanya tetapi tajuk cerita drama itu. Ya, memang kiamat sudah dekat sahabatku. Banyak tanda-tanda yang berlaku, namun kita sebagai umat akhir zaman sentiasa alpa dan lupa. Disini saya ingin kongsikan tanda-tanda kiamat semakin hampir dengan kita:

1.Penaklukan Baitulmuqaddis
Dari Auf b. Malik r.a. Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat." Baginda menyebutkan salah satu di antaranya,iaitu penaklukan Baitulmuqaddis."
-Sahih Bukhari-

2.Zina bermaharajalela
"Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang."
-Sahih Muslim-

3.Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian
wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang."
-Abu Hurairah r.a-

4.Bermaharajalela alat muzik
"Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka. Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab; "Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita"
-Ibnu Majah-

5.Menghias masjid dan membanggakannya
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid"
-Riwayat Nasai.-

6.Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik.
"Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji,memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga."
-Riwayat Ahmad dan Hakim-

7.Ramai orang soleh meninggal dunia
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik
dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran."
-Riwayat Ahmad-

8.Orang hina mendapat kedudukan terhormat
"Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah duniaakan dikuasai oleh Luka' bin Luka' (orang yang bodoh dan hina).Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia"
-Riwayat Thabrani-

9.Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.
"Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja."
-Riwayat Ahmad-

10.Bulan sabit kelihatan besar
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit."
-Riwayat Thabrani-

11.Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita
"Pada akhir zaman akan muncul pembohong- pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka
tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu"
-Sahih Muslim-

12.Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar
"Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar"
-Riwayat Ahmad-

13.Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai.
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai.
-Sahih Muslim-

Sebenarnya sahabat, banyak lagi dalil-dalil memberitahu tentang hampirnya kiamat. Lagi-lagi suasana keadaan di dunia sekarang banyak tanda-tanda yang berlaku. Semoga kita sedar dan insaf agar kita terselamat dari bala dan malapetaka. Insyallah....Bersempena sepuluh malam terakhir Ramadhan ini, marilah kita berdoa agar ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita, ibu-bapa kita dan guru-guru kita insyallah...

p/s...sarah dalam kiamat sudah dekat memang manis....)

Ramadhan: projek sarjana muda @PSM

Thursday, September 18, 2008


Assalamulaikum,

Sudah agak lama saya tidak menulis dalam warkah blog saya ini. Mungkin kerana masa-masa saya banyak terisi dengan menghabiskan projek sarjana muda saya. Ya,projek sarjana muda ataupun PSM. PSM adalah sangat sinonim dengan pelajar-palajar tahun akhir di universiti. Mungkin nama atau istilah sahaja berbeza tetapi pendekatan dan caranya hampir sama. PSM inilah mahasiswa dikehendaki menyiapkan kajian,projek dan tesis sebelum menamatkan pengajian di universiti. Adalah satu penghargaan kepada mahasiswa kerana memiliki suatu bahan atau kajian ilmiah diletakan di perpustakaan dan menjadi rujukan akademik.

Namun begitu, PSM bukannya semudah yang disangkakan. Sabar,pengurusan masa yang baik, hubungan dengan penyelia antara cabaran yang perlu dihadapi oleh mahasiswa. Ada yang menganggap PSM ini adalah subjek killer. Tetapi saya tetap percaya, diakhir nanti, kepuasan akan terbit setelah tesis telah dihasilkan. Doa dan usaha akan menjadi pendorong kejayaan kita.

Kepada rakan-rakan sekian, jangan cepat putus asa. Masa masih ada lagi. Belum terlambat untuk kita bertindak. Jangan biarkan perasaan cepat mengalah menguasai kita.Jangan kerana kegagalan kita ini, menyebabkan kita mempunyai masalah di masa hadapan. Bukankah kita janji ingin grade bersama-sama di konvo nanti..

Sekian sahaja..selamat berpuasa...)

p/s/....PSM..(Projek Susah Mati)

Ramadhan: Adab

Friday, September 12, 2008




Assalamulaikum....

Bagaimana dengan puasa sahabat semua? Semoga puasa kita diterima sebagai amalan, insyallah. Hari ini isunya agak biasa orang dengar tetapi selalu dianggap mudah. Mengapa? seperti biasa saya katakan selama ini, kurangnya kita untuk berpesan-pesan tentang perkara kebaikan. Bukan apa, manusia sekarang lebih cenderung tentang keduniaan daripada akhirat. Semua orang buat silap, saya juga turut buat silap. Biasanya kita tidak akan sedar akan kesilapan kita, hanya orang lain yang akan sedar kesilapan kita. Nescaya itulah manusia perlukan pesanan ddan peringatan agar manusia tidak lalai dan alpa.

Masyarakat di Malaysia sangat pentingkan tatsusila dan kesopanannya(walaupun ianya semakin berkurangan) kebih-lebih lagi yang berkaitan dengan adat resam sesuatu bangsa. Bagi bangsa Melayu, jika kita tidak beradab, kita dianggap kurang ajar. Tetapi bagi sudut agama pula, bagaimana? Bagi Islam,menjaga adab dan kesopanan adalah sesuatu yang dituntut agar setiap perbuatan yang kita lakukan akan mendapat kesempurnaan ibadah oleh Allah. Islam mengariskan bahawa setiap tingkah laku seseorang muslim mesti ada adab. Tidak kiralah ketika makan hatta sampai masuk ke tandas turut ada adab. Adab sangat berkaitan dengan akhlak seseorang muslim. Jika baik adabnya, insyallah baik akhlaknya.

Dalam kita seronok berpuasa jangan kita lupa akan adab berpuasa. Puasa bukan sekadar kita menahan lapar dan dahaga sahaja. Bahwasanya puasa tidak sempurna kecuali dengan merealisasikan enam perkara ini:

1.Menundukkan pandangan serta menahannya dari pandangan-pandangan liar yang tercela dan dibenci.

2.Menjaga lisan dari berbicara tidak elok,mengadu domba dan dusta.

3.Menjaga pendengaran dari mendengarkan setiap yang haram atau yang tercela.

4.Menjaga anggota tubuh lainnya dari perbuatan dosa.

5.Hendaknya tidak memperbanyak makan.

6.Setelah berbuka, hendaknya hatinya antara takut dan harap. Sebab ia tidak tahu apakah puasanya diterima, sehingga ia termasuk orang-orang yang dekat kepada Allah, ataukah ditolak, sehingga ia termasuk orang-orang yang dimurkai. Hal yang sama hendaknya ia lakukan pada setiap selesai melakukan ibadah. (Lihat Mau'idzatul Mukminiin min Ihyaa'i Uluumid Diin,hlm. 59-60.)

Itu mungkin sekadar beberapa adab yang boleh kita ikuti. Mungkin para pembaca ada lagi adab yang boleh kita kongsi bersama. Selamat menunaikan puasa...)

p/s...orang yang tidak ada adab...BIADAB....sekadar renungan....

Ramadhan: Nafsu

Wednesday, September 10, 2008


Assalamulaikum,

Allah jadikan manusia sangat istimewa. Manusia dijadikan khalifah di muka bumi Allah. Manusia juga diberikan akal dan nafsu. Akal dan nafsu inilah yang membezakan manusia dengan malaikat dan iblis. Ramai orang berkata, bahawa dengan akal yang diberikan, manusia boleh membezakan antara baik dan buruk. Namun manusia juga lupa bahawa nafsu dan godaan iblis meyebabkan manusia lalai dan alpa.

Pada bulan Ramadhan, Allah telah mengunci syaitan dan iblis serta pintu neraka ditutup serapat-rapatnya dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Namun mengapa manusia sering kali alpa dan lalai. Ya, memang manusia itu diciptakan pelupa, nescaya itulah Allah mengalakkan manusia saling ingat-mengingati antara satu dengan lain. Pada bulan ini, manusia hanya berdepan nafsu mereka sahaja. Hakikat nafsu ialah musuh kepada manusia, walaupun ia sebahagian daripada manusia. Di dalam Al Quran, Allah menegaskan maksudnya "sesungguhnya nafsu sentiasa mengajak kepada kejahatan."(Surah Yusuf ayat 53). Manakala Nabi Muhammad SAW bersabda: "Musuh ketat kamu yang paling perlu kamu lawan ialah nafsu kamu yang terletak di antara dua lambung kamu." (Riwayat Al Baihaqi).

Apa yang dimaksudkan oleh baginda tadi? Apa yang dikatakan dua lambung tadi? Sebenarnya nafsu lebih berat daripada 40 syaitan. Kerana nafsu ada di dalam diri manusia. Syaitan pula berada di luar. Nafsu adalah perantaraan atau jambatan penghubung untuk syaitan meniti kepada manusia. Sabda Nabi lagi: "Syaitan berjalan di dalam diri anak Adam melalui saluran darah, oleh itu persempitkan saluran itu dengan lapar". Maka puasa mrupakan sebagai senjata untuk kita menangani nafsu dan syaitan. Jika nafsu ditumpaskan, maka syaitan akan mudah dikalahkan.

Nafsu sebahagian daripada diri, oleh itu keinginan manusia terpaksa dikawal. Nafsu bukan mudah dididik sahabat. Nafsu itu adalah kehendak diri kita. Teori Maslow turut mengatakan bahawa manusia ada kehendak yang hendak di buat dan dilakukan bagi mencapai keperluan dalam kehidupan. Bila nafsu kuat menguasai hati, maka nafsu adalah raja. Namun jangan kita lupa bahawa Akal juga boleh menguasai hati manusia.

Hati yag dikuasai nafsu akan mengarahkan segala pancaindera kita melakukan kejahatan dan kerosakan di muka bumi ini. Firman Allah,"Telah lahir kerosakan dan kejahatan di lautan dan di daratan dengan sebab usaha tangan manusia."(Surah ar-Rum ayat 41).

Saudaraku, umur nafsu sama dengan umur seseorang manusia. Oleh itu nafsu kena dididik sejak kecil lagi. Jangan setelah besar baru hendak dididik, susah tapi bukan mestahil. Jika kita mempunyai anak, didik anak kita dengan kebaikan sejak kecil lagi agar besar nanti, anak kita akan mudah melakukan kebaikan. Jika sejak kecil kita membiarkan anak kita melakukan kejahatan ,nescaya ia akan derhaka kepada ibu bapa.

Nescaya itu sahabat, saya juga berpesan kepada diri saya sendiri, bahawa kawallah nafsu kita, tidak kiralah nafsu apa pun. Nafsu itu adalah keperluan, tidak semua nafsu kita membawa kejahatan TETAPI ingat jangan biarkan nafsu menjadi raja dalam hati kita. Memang sukar untuk mengawal nafsu, kerana apabila kita mengawal nafsu kita badan yang terpaksa menanggung derita. Tetapi ingatlah teman, jika kita berusaha dan berlatih terus-menerus, maka yang susah jadi senang, yang pahit menjadi lazat. Saya teringat pesan sahabat saya, ada seorang sufi iaitu Uwais al Qarni (tidak silap saya), dia sujud hingga ke waktu subuh kerana terlalu lazat melakukannya. Bak kat pepatah melayu, Alah bisa tegal biasa.

Jadi jadikanlah bulan yang penuh barakah ini untuk kita medidik nafsu kita. Marilah kita berusaha kearah yang lebih baik dari semalam. Semoga Allah membantu kita dalam melakukan kebaikan. Insyallah...

p/s..Ingat kata prof izi dalam radio Hot FM...selamat beramal...

Ramadhan : Siapa idola ku...?

Tuesday, September 9, 2008


Assalamulaikum…..


Hari genaplah hari kesembilan kita berpuasa. Maka bersyukurlah kerana Allah masih memberikan kita kesempatan untuk menunaikan ibadah puasa pada hari ini. Idola merupakan suatu ungkapan yang ditujukan kepada seseorang yang boleh kita jadikan contoh dan inspirasi dalam kehidupan seseorang. Saya percaya setiap seorang pasti ada idolanya yang tersendiri. Tidak kiralah ianya artis, ahli politik, sukarelawan dan macam-macam lagi. Saya juga mempunyai idola saya tersendiri. Saya masih ingat ketika saya didedahkan dengan dunia muzik, saya amat meminati gaya pemain gitar Nirvana, iaitu Kurt Cobain. Bagi saya ketika itu, hanya Kurt Cobain sahaja yang baik(walaupun teruk), seluar koyak, rambut tidak bersikat, hisap rokok, sosial dan meniru budaya grunge yang dipelopori oleh dia. Begitu fanatiknya saya terhadap Kurt ketika itu. Namun semakin hari kita belajar, apabila idola kita menjurus terhadap keseronokan dan keduniaan semata-mata, ianya tidak akan kekal, malah hilang begitu sahaja. Apa yang saya ingin kongsikan bahawa carilah idola yang boleh membawa kita kearah yang lebih baik. Saya masih ingat pesanan ustaz saya, idola setiap muslim adalah Nabi Muhammad S.A.W.Baginda merupakan role model yang terbaik setiap zaman. Para sejarawan barat turut mengiktiraf bahawa Nabi Muhammad adalah manusia yang paling terpengaruh di dunia. Akhlak, sikap dan ajaran baginda Berjaya mempengaruhi hampir satu per tiga dunia.


Nabi Muhammad saw meskipun sama kejadiannya dengan manusia lain di muka bumi ini, namun bentuk lahiriah dan rohaniahnya tidak sama. Baginda mempunyai keistimewaan yang sama sekali tidak terdapat pada manusia-manusia biasa. Sebagai manusia yang terbaik di muka bumi ini, Baginda dianugerahkan dengan keperibadian dan perwatakan yang istimewa kerana padanyalah terdapat contoh untuk diteladani. Umum mengetahui keadaan yang zahir adalah gambaran yang terjelma dari unsur-unsur batin. Rupa paras seseorang boleh membantu menjelaskan keperibadian setiap individu. Ciri-ciri seperti bentuk badan, sifat fizikal dan rupa bentuk anggota adalah menggambarkan tentang akal dan akhlak seseorang. Begitulah dengan Nabi Muhammad saw. yang mempunyai bentuk badan yang indah dan segak, namun tidak dapat digambarkan oleh mana-mana pelukis potret di dunia ini. Allah mengharamkan penggambaran potret Baginda oleh sesiapa saja. Sungguhpun begitu sifat-sifat kecantikan baginda masih boleh diillusikan melalui pertuturan dan riwayat para sahabat dan tabi'in. Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda. Ulama Yahudi berkenaan terpukau dengan raut paras dan akhlak baginda yang sudah tentunya milik seorang Rasul Agung di muka bumi ini. Para sahabat yang sentiasa bersamanya sentiasa meneliti bentuk tubuh tokoh kesayangannya secara terperinci. Di antara kata-kata appresiasi mereka yang pernah melihat baginda saw:


•Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah. Aku melihat cahaya memancar dari lidahnya.

•Seandainya kamu melihat Rasulullah, kamu akan merasa seolah-olah sedang melihat matahari terbit.

•Aku pernah melihat Rasulullah saw di bawah sinaran bulan. Aku bandingkan wajahnya dengan bulan, akhirnya aku sedari bahawa Rasulullah saw jauh lebih cantik daripada sinaran bulan.

•Rasulullah saw seumpama matahari yang bersinar. Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah saw.

•Apabila Rasulullah saw berasa gembira, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama dan dari situ kami mengetahui yang baginda sedang gembira.

•Kali pertama memandangnya, sudah tentu kamu akan terpesona

•Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat

•Wajahnya seperti bulan purnama

•Dahi Baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya. Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.

•Mata Baginda hitam dengan bulu mata yang panjang

•Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.

•Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.

•Mulut baginda sederhana luas dan cantik

•Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.

•Apabila berkata-kata cahaya kelihatan memancar dari giginya

•Janggutnya penuh dan tebal menawan

•Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak sangat indah.

•Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya

•Rambutnya sedikit ikal

•Rambutnya tebal kadang-kadang menyentuh pangkal telinga dan kadang-kadang mencecah bahu tapi disisir rapi

•Rambutnya terbelah di tengah

•Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat

•Dadanya bidang dan selaras dengan perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih daripada biasa

•Seimbang antara kedua bahunya

•Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya , jarinya juga besar dan tersusun dengan cantik

•Aku tidak pernah menyentuh sebarang sutera yang tipis mahupun tebal yang lebih lembut daripada tapak tangan Rasulullah saw.

•Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik. kakinya berisi, di tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air. Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.

•Warna kulitnya tidak putih seperti kapur atau coklat tapi campuran antara coklat dan putih. Warna putihnya lebih banyak.

•Warna kulit Baginda putih kemerah-merahan

•Warna kulitnya putih tapi sehat

•Kulitnya putih lagi bercahaya

•Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh

•Badannya tidak gemuk

•Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak

•Perutnya tidak buncit

•Badannya cenderung kepada tinggi. Semasa berada di kalangan orang ramai, baginda kelihatan lebih tinggi daripada mereka

•Sekalipun baginda miskin dan lapar tapi tubuhnya lebih gagah dan sihat daripada orang yang cukup makan.Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih gagah dan berani daripada Rasulullah saw.


Begitu hebat personaliti dan ketokohan Baginda saw., makhluk terpuji dan teragung di muka bumi. Kesimpulannya Nabi Muhammad saw. adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman. Jadi siapakah idola dan contoh kita selama ini? Fikir-fikirkan…..

p/s..semoga dapat syafaat Nabi Muhammad di Padang Mahsyar...amin

Ramadhan : Anda sayang Teman Wanita anda ?

Sunday, September 7, 2008


Assalamulaikum sahabat semua,

Selamat menjalani idabah puasa. Semoga Allah memberikan kita kesempatan untuk kita menjalani idabahNYA dengan penuh keikhlasan. Insyallah. Apa isu hari ini? Tentu menarik tajuk saya kan? Tapi mempunyai signifikan yang tersendiri. Tiada siapa nafi bahawa Allah jadikan lelaki untuk wanita dan wanita untuk lelaki. Saya juga merasai naluri yang sama. Kita tidak dapat lari dari kenyataan ini. Tapi adakah kita kita boleh mengawal perasaan dan nafsu kita? Bukankah Allah memberikan kita akal untuk berfikir? Saya ada perkara yang hendak dikongsikan bersama bersama rakan-rakan semua..Ini tentang cerita sebuah kawan yang disampaikan kepada kawan. Ceritanya menarik dan banyak bolh diambil pengajarannya..

*SEKADAR RENUNGAN*
Saya suka tengok jari awek saya
Cantik betul... Sungguh
Sampai takut nak pegang...
Bukan takut patah...
Tapi takut nanti jari kitorang tak boleh tolong each other
Di satu hari yang dahsyat depan yang maha Esa...
Saya suka tengok rambut awek saya...
Cantik betol... Sungguh!
Sebab tu saya belikan tudung...
Bukan sebab jeles orang lain tengok jugak....
Tapi takut nanti terbakar dek api neraka
Saya suka tengok body awek saya...
Cantik betol... Sungguh!
Sebab tu saya belikan dia telekong
Supaya mase die jumpa dengan Kekasih die Yang Utama
Dia lagi cantik dan berseri menghadapNya.
Saya pun tumpang dapat pahala. Pheh syoknye...
Saya sedih tengok awek saya
Tak tido, tak makan rindu kat saya...
Saya pun macam tu jugak,
Ada problem yang sama..
Die tanya apa ubatnya?
Saya pun bagi die Quran untuk penenang jiwa...
Semoga lebih cintakan Nya dari saya...
Saya sedih tengok awek saya
Selalu pesan macam-macam kat saya...
"Makan, minum, drive elok-elok tau..
Nanti awak sakit saye susah ati bla bla bla bla" katenya...
Tapi bila tengok movie sama-sama burn asar maghrib gitu
Die tak kata satu aper pun...
Berdosanye saya....
Kesimpulannya saya memang sayang dia...
Nak jumper die giler forever...
Yang forever punye forever...
Di dunia dan akhirat terutamanya,
Janji nak share heaven sama-sama...
Bahagia selamanya...
Semoga kami saling mengingati,
Dosa sendiri pun infiniti...
Nak tanggung dosa dia lagi pulak lepas ni...
Semoga kami menginsafi diri...
Ya Allah ampunkanlah kami....
Semoga kami dapat bersama selamanya nanti...

p/s...masih mencari-cari.....)

Ramadhan: Makan

Thursday, September 4, 2008


Assalamulaikum....

Bila kita berpuasa, makanan merupakan suatu item yang tidak boleh dipisahkan. Nafsu makan adalah suatu nafsu yang sukar kita hendak kawal. Mengapa? Suatu persoalan mengapa kita gagal untuk membendung nafsu makan kita lebih-lebih lagi bulan yang mulia ini. Banyak faktor dan sebab mengapa jadi begitu. Mungkin ketika bulan puasa inilah kita hendak merasa pelbagai aneka makanan dari makanan utara ke selatan, dari pedas ke manis, dari yang mahal sampai kemurah....macam-macam..Ketika ini pasaran ayam percik meningkat, nasi kerabu, laksa dan kuih-muih turut meningkat pasarannya.

Namun, itulah keistemewaan bulan puasa di Malaysia. Unik dan bertradisi zaman berzaman. Walaupun kita duduk dimana sekalipun suasananya tetap sama. Bubur lambuk menjadi rebutan di masjid, pasar Ramadhan penuh dan sesak, sangat seronok. Sukar kita mahu melihat perkara yang berlaku dinegara kita berlaku dinegara luar. Namun jangan dilupa tentang hikmah disebalik kita berpuasa. Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi yang penting mengawal NAFSU. Nafsu makan adalah salah satu nafsu yang perlu kita kawal. Jangan puasa kita sekadar puasa sahaja tanpa mendapat keberkatan yang sebenar dari Allah. Selain itu, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Apa khabar mereka? adakah mereka berbuka puasa atau sentiasa berpuasa...

Selain itu, hanyalah kerana kita memenuhi nafsu makan kita, kita tidak memenuhi tuntutan sebenar Ramadhan iaitu Terawih di masjid. 20 atau 8 rakaat bukan persoalan tetapi adakah kita sembahyang? Terawih merupakan solat yang dikhususkan hanya pada bilan Ramadhan sahaja. Jangan dilupa itu.

Itu sahaja coretan Ramadhan saya kali ini. Bukan untuk menunjuk saya baik, tetapi memberi nasihat kepada diri sendiri. Ingat Ramadhan adalah setahun sekali. Adakah kita yakin, kita akan bertemu Ramadhan pada tahun depan...Bak kata Nabil, lu pikirlah sendiri....

p/s...makan nasi selepas terawih....)

Ramadhan : Rokok .....?

Monday, September 1, 2008


Assalamulaikum....

Salam Ramadhan diucapkan buat semua sahabat dan seluruh muslim yang diseluruh dunia. Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan diterima oleh Allah S.W.T, insyallah. Tetapi Ramadhan kali ini bagi saya adalah sangat bermakna. Ini kerana genap 1 Ramadhan, genaplah setahun saya membuang tabiat merokok saya. Alhamdulillah, syukur. Semoga usaha yang saya lakukan ini berkekalan sepanjang hayat. Sebenarnya, tiada langsung terniat dalam hati saya hendak berhenti merokok setahun yang lepas. Ini brlaku secara tidak sengaja. Walhal saya sudah pun membeli sekotak rokok untuk berbuka ketika itu, namun dengan kuasa Allah, saya tiba-tiba berazam untuk cuba tidak mahu menghisap rokok ketika itu. Ianya berlanjutan hari demi hari sehingga puasa yang ketujuh, saya terfikir, adakah ini Ramadhan kali ini adalah bulan yang sesuai untuk saya berhenti? Lama juga saya termenung dan memikirkannya. Sebenarnya saya ingin berhenti apabila saya sudah berkahwin, namun saya tekad untuk melakukannya ketika itu. Saya bukannya seorang ketagih rokok yang kronik, namun saya perlukan rokok untuk saya cergas dan segar dalam melakukan kerja dan belajar. Saya pernah berhenti 3 bulan tetapi saya kembali ke tabiat asal saya. Saya mula merokok seawal darjah 4 lagi. Bayangkan, betapa kroniknya paru-paru saya...Semoga Allah memberikan saya kesihatan yang baik sepanjang hayat saya, insyallah..

Namun dalam usaha saya dalam membuang tabiat ini, ramai rakan-rakan saya terjebak secara serius dan ketagih. Bagi saya, masa dan suasananya tidak sesuai. Tetapi siapalah saya untuk menasihati mereka. Itu hak mereka. Terpulang. Semoga mereka sedar bahawa merokok sebenarnya tidak membawa apa-apa erti sebenarnya. Dulu saya pernah mengatakan bila saya stress dan perlukan ketenangan saya perlukan rokok. Saya tidak boleh menghadapinya tanpa rokok, namun sepanjang setahun saya berhenti , ternyata ianya meleset. Kualiti akademik saya semakin baik, stamina semakin baik dan saya turut boleh menangani stress saya dengan baik.

Baiklah rakan-rakan, semoga kita menunaikan puasa dalam tahun ini dengan lebih baik dan sempurna, insyallah...

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari
ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah
datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana
Allah melimpah ruahkan di dalamnya
dengan keberkatan, menurunkan rahmat,
mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan
doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan
kamu untuk memperolehi kebaikan yang
besar dan berbangga mengenaimu di
hadapan malaikat-malaikat. Maka
tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan
dari kamu. Sesungguhnya orang yang
bernasib malang ialah dia yang dinafikan
daripada rahmat Allah pada bulan ini."

p/s...semoga berat badan turun.....p